Antara adab-adab yang disunatkan dalam Islam adalah seperti berikut :
1. Melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu. Ia elok dilakukan sebaik sahaja anak keluar daripada rahim ibu. Perbanyakkan bacaan zikrullah (tasbih, takbir dan tahmid).
2. Mengikut hadis sahih daripada Abu Daud dan Tarmizi, sunat untuk
diazankan di telinga bayi sebab ia dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w
ketika cucu baginda, Hassan lahir. Imam Ibnu Qayyium memberitahu azan
dilakukan supaya kalimat seruan tentang kebesaran Allah menjadi seruan
pertama yang didengar oleh bayi.
Sementara Sheikh Muhammad Ali Qutub pula menyamakan seruan azan/iqamat
seperti bacaan talqin. Kelahiran bayi bermaksud bayi berpindah dari alam
rahim ke alam dunia, seruan azan mengingatkan bayi tentang
tanggungjawabnya di dunia. Sebab itu bayi menangis ketika baru lahir ke
dunia.
3. Memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada
gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh
dibacakan. Nabi Muhammad s.a.w juga melakukan amalan ini apabila
cucundanya lahir. Amalan ini disebut dalam hadis sahih dari Bukhari.
Ustaz Abu Hasan mengingatkan ibu bapa agar jangan sekali-kali melakukan
amalan meletakkan gunting, paku dan sebagainya lagi di bawah bantal bayi
bertujuan menghalau syaitan atau sebarang gangguan iblis. Ia boleh
jatuh syirik kerana ia perbuatan yang khurafat.
4. Sunat memberi ucapan tahniah kepada ibu bapa yang baharu sahaja
mendapat anak. Ia ada disebut dalam kitab Imam An-Nawawi. Tujuannya
untuk menghulurkan rasa kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga yang
memperoleh cahaya mata baharu selain mengeratkan kemesraan dan ikatan
silaturrahim di antara mereka. Disarankan mereka yang berkunjung melawat
bayi turut menghulurkan buah tangan seperti hadiah, wang dan sebagainya
kepada ibu bapa tersebut.
5. Tanam uri dengan segera kerana ia adalah benda kotor dan najis.
Menurut Ustaz Abu Hasan, uri tersebut tidak perlu dibersihkan seperti
dilakukan sesetengah masyarat yang membersihkan uri dengan garam dan
asam gelugor. Sebaiknya bungkus terus dan segera ditanam. Elok ditanam
di tanah yang keras dengan mencangkul dalam tanah untuk mengelakkan
daripada dikorek dan dimakan binatang. Selain itu dia juga mengingatkan
ibu bapa agar jangan percaya kepada amalan sesat yang menanam uri
bersama objek lain kerana percaya memberi nasib yang baik kepada bayi.
Amalan itu boleh merosakkan akidah.
6. Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan
membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat
kelak. Nabi menyuruh ibu bapa memberi nama anak pada hari ke-7 atau
secepat yang boleh.
7. Sunat melakukkan tahnik atau belah mulut bayi baharu lahir. Tahnik
ialah mengunyah buah kurma dan diletakkan sedikit rasanya di dalam mulut
bayi. Tahnik bertujuan memohon kepada Allah SWT supaya anak yang
dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya daripada
menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat
walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa
kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana
hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling
mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.
8. Sunat membuat aqiqah yang bermaksud penyembelihan binatang ternakan
seperti kambing,lembu,kerbau atau unta dan lebih afdal dilakukan pada
hari ketujuh kelahiran bayi. Hadis Abu Daud ada menyebut aqiqah
dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT supaya mendekatkan
anak kepada Allah. Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang
sekeliling supaya mereka tahu tentang kelahiran anak anda. Tetapi jika
ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia
boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak. Sunah Rasulullah menyuruh
aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak
perempuan.
9. Mencukur jambul atau rambut anak yang baharu lahir. Menggunting
sedikit rambut bayi pada hari ke tujuh adalah sunat. Ini sebagai tanda
permulaan kehidupan anak kecil sebagai manusia dan hamba di sisi Allah
selain menggalakkan pertumbuhan rambut baharu yang lebih sihat.
Selalunya majlis kenduri diadakan untuk menyambut kelahiran bayi.
Sesiapa sahaja boleh menggunting rambut baik tetapi lebih baik jika
dilakukan orang yang soleh dan keluarga terdekat. Menggunakan buah
kelapa dan segala macam campuran seperti garam, beras dan bunga semasa
mencukur rambut anak tidak dibenarkan kerana amalan ini diambil daripada
budaya Hindu.
10. Mengkhatankan anak. Hadis daripada Al-Baihaqi menyebut Rasulullah
bukan hanya menyembelih kambing tetapi turut mengkhatankan bayi baharu
lahir pada hari ketujuh. Berkhatan bagi lelaki bertujuan untuk
kebersihan, mencegah penyakit dan seksual. Perkara ini menjadi sunat
kepada kaum perempuan dan satu kewajiban bagi lelaki. Bagi perempuan
tidak perlu sebab Imam Syaukawi sebut tidak ada dalil yang sahih tentang
wajib berkhatan bagi perempuan.
0 comments:
Post a Comment