Apakah itu Steroid?
Steroid
merupakan sejenis hormon semulajadi yang dihasilkan oleh tubuh badan
manusia. Ia bertindak dengan mengawal fungsi badan. Steroid di
kategorikan sebagai racun terkawal di mana pengambilannya hanya atas
nasihat doktor. Sebarang produk yang mengandungi steroid pula perlu
berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Steroid terbahagi kepada dua jenis iaitu steroid anabolik dan kortikosteroid.
Steroid anabolik merupakan steroid buatan yang bertindak seperti hormon
lelaki. Kortikosteroid pula terbahagi kepada beberapa jenis seperti
prednisolone, dexamethasone, betamethasone dan lain-lain.
Steroid anabolik kebiasaannya adalah
dalam bentuk cecair untuk disuntik manakala kortikosteroid terdiri
daripada pelbagai sediaan seperti dalam bentuk tablet/kapsul, krim, ubat
sedut (Inhaler) dan titis mata. Sediaan yang pelbagai ini
bertujuan untuk merawat penyakit-penyakit yang berlainan. Sebagai
contoh, pesakit ekzema akan menerima steroid dalam bentuk krim untuk di
sapu ke bahagian bermasalah. Manakala pesakit asma akan menggunakan ubat
sedut untuk melegakan radang pada paru-paru dan saluran pernafasan.
Steroid dalam bentuk kapsul/tablet pula akan diberikan kepada pesakit
yang mengalami masalah seperti gout atau athritis.
Kegunaan Steroid
Dalam perubatan moden, steroid anabolik
seperti testosterone berfungsi untuk membantu dalam pembinaan otot
badan. Sebagai contoh, doktor akan mempreskripsikan ubat ini untuk
merawat pesakit AIDS yang mengalami pengecutan otot.
Berbeza dengan steroid anabolik,
kortikosteroid pula bertindak dengan mengurangkan bengkak atau dengan
kata lain bertindak sebagai agen antiradang. Ia juga digubakan untuk
mengurangkan tindakan imun badan yang terlampau aktif.
Oleh sebab sifat antiradang
kortikosteroid, ia digunakan dalam rawatan pesakit asma dan arhtritis.
Kortikosteroid juga turut digunakan dalam rawatan penyakit seperti lupus
(keradangan kronik), ekzema, psoriasis dan alergik. Selain daripada
itu, Kortikosteroid turut diberikan kepada pesakit yang menerima organ
transplan untuk mengelakkan penolakan organ baru oleh badan.
Kesan Sampingan
Sama seperti ubat-ubat lain, pengguna
akan merasa pening dan mual selepas mengambil steroid. Dalam jangka masa
pendek, pengguna steroid akan mengalami pertambahahan berat badan yang
mendadak. Bahagian muka akan menjadi sembab dan bulat atau lebih
dikenali dengan istilah “moon face”.
Selain daripada itu, bagi pengguna
lelaki, mereka akan mengalami kehilangan rambut yang mengakibatkan botak
pada bahagian tertentu kepala. Keadaan ini hanya sementara, rambut akan
tumbuh semula selepas pengambilan steroid dihentikan. Masalah jerawat
juga akan timbul dalam kalangan pengguna steroid. Kulit pula akan
menjadi nipis dan menyebabkan ia mudah luka.
Seterusnya mereka yang pernah mengalami
gastrik, perokok atau pengguna alkohol berpotensi besar untuk mendapat
ulser pada organ pencernaan seperti di perut dan usus apabila mengambil
steroid.
Pengambilan steroid dalam jangka masa
panjang pula, akan mengakibatkan tulang menjadi rapuh menyebabkan tulang
menjadi tidak kuat dan mudah patah walaupun terkena hentakan yang
perlahan. Bukan itu sahaja, malah penggunaan steroid dalam jangka masa
yang panjang boleh merosakkan buah pinggang dan mendedahkah penggunanya
kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Penggunaan steroid untuk tempoh yang
lama di bahagian mata pula boleh menyebabkan penghasilan selaput mata
berlebihan dan menyebabkan penyakit yang dikenali sebagai katarak.
Keadaan ini sekiranya tidak dirawat dengan baik akan menyebabkan
seseorang itu hilang penglihatan.
Penggunaan steroid dalam kalangan
kanak-kanak untuk tempoh yang lama boleh mengganggu kadar pertumbuhan
kerana ubat steroid menghalang penghasilan hormon tumbesaran di dalam
badan manusia
Arahan Khas Penggunaan Steroid
Oleh sebab kesan sampingan yang serius
ini, steroid hanya boleh digunakan untuk tempoh yang singkat. Kesan
penggunaan dalam jangkamasa yang panjang dengan dos yang tidak menentu
akan memudaratkan sistem badan.
Kebiasaannya, pesakit yang menggunakan
steroid akan mengambilnya dalam suatu tempoh tertentu atas nasihat
doktor. Dos steroid perlu dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum boleh
berhenti pengambilan sepenuhnya. Begitu juga sebaliknya untuk
meningkatkan dos.
Tambahan lagi, steroid perlu di ambil
dalam dos yang rendah. Penggunaan dos steroid yang tinggi secara
tiba-tiba akan mengejutkan sistem badan kerana badan kita sendiri
menghasilkan steroid.
Seseorang yang mengalami jangkitan tidak
seharusnya mengambil steroid. Ini kerana, steroid akan mengurangkan
tindakan imun badan, oleh itu boleh menyebabkan jangkitan menjadi
semakin parah. Pesakit yang sedang dirawat dengan steroid harus
berhati-hati sekiranya terdedah dengan risiko jangkitan kuman
memandangkan imun badan yang agak lemah.
Doktor atau ahli farmasi akan menasihati
pengguna steroid supaya mengelakkan penggunaan ubat tahan sakit
bersama-sama steroid. Ini kerana penggunaan serentak kedua-dua jenis
ubat ini akan meningkatkan risiko mendapat gastrik. Oleh sebab itu juga,
pesakit akan disarankan untuk mengambil ubat steroid selepas makan.
Bahaya Steroid / Penyalahgunaan Steroid
Walaupun penggunaan ubat steroid adalah
atas nasihat doktor, steroid tetap memberi kesan sampingan apatah lagi
sekiranya digunakan tanpa kawalan.Dewasa ini, terdapat pihak-pihak tidak
bertanggungjawab yang mencampurkan steroid ke dalam produk kesihatan
keluaran mereka bagi menambahkan keberkesanan produk tersebut. Bukan
setakat ubat, makanan dan kosmetik juga adakalanya dicemari dengan
steroid kerana kerakusan pengeluar atau penjual mengaut keuntungan.
Kini kita sering dengar tentang “Ubat
Ajaib” yang dikatakan mampu memulihkan banyak penyakit. Masyarakat umum
perlu berhati-hati kerana ubat-ubat atau makanan dengan tuntutan
perubatan yang melampau mungkin mengandungi steroid. Sebagai contoh
sakit lutut yang dialami setelah sekian lama hilang sekelip mata selepas
mengambil ubat produk tersebut.
Ubat tradisional yang dicemari steroid
amat mudah didapati di kedai-kedai runcit. Antara produk yang
mengandungi steroid adalah seperti berikut Tunglin, Majun Dua Istimewa,
Gamat Ikan Haruan Plus, Majun Taufiq Dua Istimewa, Delima Raja Urat, dan
Madu Adunan Herba Selain dicemari racun berjadual, produk-produk ini
juga tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh sebab
itu, keselamatan penggunaannya tidak dijamin.
Steroid juga sering disalahgunakan oleh
atlet yang taksub dengan kemenangan yang mana mereka akan mengambilnya
untuk tujuan membina otot badan. Sebab itulah kita sering kali mendengar
atlet sukan gagal ujian “doping”.
Oleh itu, pengambilan steroid tanpa
pengawasan doktor atau ahli farmasi adalah tidak digalakkan sama sekali.
Di samping itu, gunakan ubat berdaftar agar kita terhindar daripada
produk yang dicemari racun ini.