Tuesday, February 23, 2016

Kesan Penggunaan Steroid Yang Perlu Anda Tahu.

Apakah itu Steroid?

Steroid merupakan sejenis hormon semulajadi yang dihasilkan oleh tubuh badan manusia. Ia bertindak dengan mengawal fungsi badan. Steroid di kategorikan sebagai racun terkawal di mana pengambilannya hanya atas nasihat doktor. Sebarang produk yang mengandungi steroid pula perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Steroid terbahagi kepada dua jenis iaitu steroid anabolik dan kortikosteroid. Steroid anabolik merupakan steroid buatan yang bertindak seperti hormon lelaki. Kortikosteroid pula terbahagi kepada beberapa jenis seperti prednisolone, dexamethasone, betamethasone dan lain-lain.

Steroid anabolik kebiasaannya adalah dalam bentuk cecair untuk disuntik manakala kortikosteroid terdiri daripada pelbagai sediaan seperti dalam bentuk tablet/kapsul, krim, ubat sedut (Inhaler) dan titis mata. Sediaan yang pelbagai ini bertujuan untuk merawat penyakit-penyakit yang berlainan. Sebagai contoh, pesakit ekzema akan menerima steroid dalam bentuk krim untuk di sapu ke bahagian bermasalah. Manakala pesakit asma akan menggunakan ubat sedut untuk melegakan radang pada paru-paru dan saluran pernafasan. Steroid dalam bentuk kapsul/tablet pula akan diberikan kepada pesakit yang mengalami masalah seperti gout atau athritis.

Kegunaan Steroid

Dalam perubatan moden, steroid anabolik seperti testosterone berfungsi untuk membantu dalam pembinaan otot badan. Sebagai contoh, doktor akan mempreskripsikan ubat ini untuk merawat pesakit AIDS yang mengalami pengecutan otot.

Berbeza dengan steroid anabolik, kortikosteroid pula bertindak dengan mengurangkan bengkak atau dengan kata lain bertindak sebagai agen antiradang. Ia juga digubakan untuk mengurangkan tindakan imun badan yang terlampau aktif.

Oleh sebab sifat antiradang kortikosteroid, ia digunakan dalam rawatan pesakit asma dan arhtritis. Kortikosteroid juga turut digunakan dalam rawatan penyakit seperti lupus (keradangan kronik), ekzema, psoriasis dan alergik. Selain daripada itu, Kortikosteroid turut diberikan kepada pesakit yang menerima organ transplan untuk mengelakkan penolakan organ baru oleh badan.

Kesan Sampingan

Sama seperti ubat-ubat lain, pengguna akan merasa pening dan mual selepas mengambil steroid. Dalam jangka masa pendek, pengguna steroid akan mengalami pertambahahan berat badan yang mendadak. Bahagian muka akan menjadi sembab dan bulat atau lebih dikenali dengan istilah “moon face”.

Selain daripada itu, bagi pengguna lelaki, mereka akan mengalami kehilangan rambut yang mengakibatkan botak pada bahagian tertentu kepala. Keadaan ini hanya sementara, rambut akan tumbuh semula selepas pengambilan steroid dihentikan. Masalah jerawat juga akan timbul dalam kalangan pengguna steroid. Kulit pula akan menjadi nipis dan menyebabkan ia mudah luka.

Seterusnya mereka yang pernah mengalami gastrik, perokok atau pengguna alkohol berpotensi besar untuk mendapat ulser pada organ pencernaan seperti di perut dan usus apabila mengambil steroid.

Pengambilan steroid dalam jangka masa panjang pula, akan mengakibatkan tulang menjadi rapuh menyebabkan tulang menjadi tidak kuat dan mudah patah walaupun terkena hentakan yang perlahan. Bukan itu sahaja, malah penggunaan steroid dalam jangka masa yang panjang boleh merosakkan buah pinggang dan mendedahkah penggunanya kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Penggunaan steroid untuk tempoh yang lama di bahagian mata pula boleh menyebabkan penghasilan selaput mata berlebihan dan menyebabkan penyakit yang dikenali sebagai katarak. Keadaan ini sekiranya tidak dirawat dengan baik akan menyebabkan seseorang itu hilang penglihatan.

Penggunaan steroid dalam kalangan kanak-kanak untuk tempoh yang lama boleh mengganggu kadar pertumbuhan kerana ubat steroid menghalang penghasilan hormon tumbesaran di dalam badan manusia

Arahan Khas Penggunaan Steroid

Oleh sebab kesan sampingan yang serius ini, steroid hanya boleh digunakan untuk tempoh yang singkat. Kesan penggunaan dalam jangkamasa yang panjang dengan dos yang tidak menentu akan memudaratkan sistem badan.

Kebiasaannya, pesakit yang menggunakan steroid akan mengambilnya dalam suatu tempoh tertentu atas nasihat doktor. Dos steroid perlu dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum boleh berhenti pengambilan sepenuhnya. Begitu juga sebaliknya untuk meningkatkan dos.

Tambahan lagi, steroid perlu di ambil dalam dos yang rendah. Penggunaan dos steroid yang tinggi secara tiba-tiba akan mengejutkan sistem badan kerana badan kita sendiri menghasilkan steroid.

Seseorang yang mengalami jangkitan tidak seharusnya mengambil steroid. Ini kerana, steroid akan mengurangkan tindakan imun badan, oleh itu boleh menyebabkan jangkitan menjadi semakin parah. Pesakit yang sedang dirawat dengan steroid harus berhati-hati sekiranya terdedah dengan risiko jangkitan kuman memandangkan imun badan yang agak lemah.

Doktor atau ahli farmasi akan menasihati pengguna steroid supaya mengelakkan penggunaan ubat tahan sakit bersama-sama steroid. Ini kerana penggunaan serentak kedua-dua jenis ubat ini akan meningkatkan risiko mendapat gastrik. Oleh sebab itu juga, pesakit akan disarankan untuk mengambil ubat steroid selepas makan.

Bahaya Steroid / Penyalahgunaan Steroid

Walaupun penggunaan ubat steroid adalah atas nasihat doktor, steroid tetap memberi kesan sampingan apatah lagi sekiranya digunakan tanpa kawalan.Dewasa ini, terdapat pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mencampurkan steroid ke dalam produk kesihatan keluaran mereka bagi menambahkan keberkesanan produk tersebut. Bukan setakat ubat, makanan dan kosmetik juga adakalanya dicemari dengan steroid kerana kerakusan pengeluar atau penjual mengaut keuntungan.

Kini kita sering dengar tentang “Ubat Ajaib” yang dikatakan mampu memulihkan banyak penyakit. Masyarakat umum perlu berhati-hati kerana ubat-ubat atau makanan dengan tuntutan perubatan yang melampau mungkin mengandungi steroid. Sebagai contoh sakit lutut yang dialami setelah sekian lama hilang sekelip mata selepas mengambil ubat produk tersebut.

Ubat tradisional yang dicemari steroid amat mudah didapati di kedai-kedai runcit. Antara produk yang mengandungi steroid adalah seperti berikut Tunglin, Majun Dua Istimewa, Gamat Ikan Haruan Plus, Majun Taufiq Dua Istimewa, Delima Raja Urat, dan Madu Adunan Herba Selain dicemari racun berjadual, produk-produk ini juga tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh sebab itu, keselamatan penggunaannya tidak dijamin.

Steroid juga sering disalahgunakan oleh atlet yang taksub dengan kemenangan yang mana mereka akan mengambilnya untuk tujuan membina otot badan. Sebab itulah kita sering kali mendengar atlet sukan gagal ujian “doping”.

Oleh itu, pengambilan steroid tanpa pengawasan doktor atau ahli farmasi adalah tidak digalakkan sama sekali. Di samping itu, gunakan ubat berdaftar agar kita terhindar daripada produk yang dicemari racun ini.

0 comments:

Post a Comment